SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik (SMK Gerik) mendapat nama sempena lokasi sekolah di pinggir pekan Gerik.  Lokasi SMK Gerik kira-kira setengah kilometer dari pekan Gerik. SMK Gerik ditubuhkan pada Disember 1990. Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Sri Adika Raja Gerik. Bangunan SMK Gerik yang ada sekarang dibina di atas tanah seluas 29.65 ekar. Rasional penubuhan SMK Gerik kerana SMK Sultan Idris Shah II, Gerik iaitu  sekolah premier yang terletak di Kampung Air Panas, Gerik tidak  mampu menampung jumlah murid yang semakin ramai pada masa itu mencecah seramai 2000 orang.

Bermula pada bulan Disember 1990, seramai 14 orang guru dan 220 orang murid memulakan sesi persekolahan bagi tahun 1991 dengan menumpang bangunan di SK Sri Adika Raja, Gerik. Oleh sebab menumpang di sekolah kebangsaan, murid-murid tidak mendapat kemudahan seperti makmal sains, bengkel kemahiran hidup dan pusat sumber. Walau bagaimanapun, usaha telah dibuat untuk mendapatkan bantuan dan Syarikat Hasma, Gerik telah menderma buku bernilai RM 5,000.00 dan Syarikat Asia Foundation memberi bantuan sebanyak 200 judul buku akademik. Pada awal Oktober 1991, Kerajaan Negeri Perak memberi bantuan sebanyak RM 50,000.00.

Pada 16 November 1991, bangunan blok A, blok B dan blok C SMK Gerik di Jalan Kuala Kenderong telah siap dibina. Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah meluluskan geran pelancaran sebanyak RM 23,000 beserta perabot dan peralatan sekolah yang telah dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Tarikh keramat 02 Disember 1991 bermulanya sesi persekolahan dengan bangunan sendiri dan generasi pertama SMK Gerik terdiri daripada seramai 364 orang murid.    

Pada 01 Jun 1998 sebuah asrama putera yang dapat memuatkan seramai 100 orang pelajar melengkapkan lagi kemudahan di sekolah ini telah dibina. Disebabkan bilangan murid yang semakin meningkat, Kementerian Pendidikan telah meluluskan pembinaan empat buah bangunan tambahan. Bangunan yang dimaksudkan terdiri daripada dua blok bangunan empat tingkat iaitu Blok D & Blok E, satu blok bengkel kemahiran hidup, sebuah asrama puteri dan sebuah padang permainan.

Pada tahun 2004 kelas pendidikan khas telah beroperasi dan sekarang, pendidikan khas mempunyai 5 buah kelas dengan seramai 8 orang tenaga pengajar. SMK Gerik juga telah dilengkapi dengan tiga buah makmal sains untuk murid-murid aliran sains tulen.  Pada tahun yang sama 3 buah kelas tingkatan 6 rendah aliran kemanusiaan telah dibuka. Namun pada tahun 2017,kelas tingkatan 6 ini, telah dipindahkan ke SMKSIS II manakala SMK Gerik menerima tambahan murid rancangan khas. Pada tahun 2017 kemudahan Dewan Terbuka siap dibina. Kini, SMK Gerik mempunyai seramai 662 orang murid, 83 orang guru dan 17 orang staf sokongan.  

32 total views, 2 views today